267: ISU TIDAK MELETAKKAN ‘BIN’ DAN ‘BINTI’ PADA DAFTAR KELAHIRAN ANAK MENURUT SYARAK

 BAYAN LINNAS SIRI KE-267: ISU TIDAK MELETAKKAN ‘BIN’ DAN ‘BINTI’ PADA DAFTAR KELAHIRAN ANAK MENURUT SYARAK  

ISU_TIDAK_MELETAKKAN_BIN_DAN_BINTI_PADA_DAFTAR_KELAHIRAN_ANAK_MENURUT_SYARAK.jpg

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Setiap cahaya mata yang baru dilahirkan pasti akan diberikan nama oleh kedua ibu bapanya dengan nama yang baik. Hal ini kerana, nama yang baik merupakan doa dan pada hari kiamat setiap insan akan diseru dengan namanya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”[1]

Riwayat Abu Daud

Tular di media sosial trend ibu bapa muda pada hari ini yang tidak meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftarkan kelahiran.[2] Jika dilihat kepada syarat permohonan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara pun maka tidak akan ditemui syarat yang mewajibkan untuk meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ dalam nama anak. Meskipun begitu jika penjaga mahu menggugurkan perkataan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak mereka maka mereka perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.

Mengikut ‘Uruf (Adat Setempat)

Dari aspek ‘uruf(adat setempat) pula memang semenjak dahulu di Malaysia setiap nama bagi individu muslim akan diletakkan ‘bin’ atau ‘binti’. Perkara ini berpandukan kepada tradisi perletakan nama dan nasab para Rasul AS, Sahabat RA, Tabiin, Tabi Tabiin dan seluruh ulama Islam. Sebagai contoh, nama Rasulullah SAW iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib.

Oleh itu, tidak benar tanggapan sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa bangsa Arab sendiri pun tiada pemakaian ‘bin’ atau ‘binti’. Sedangkan pemakaian tersebut digunakan sehingga ke hari ini kerana bangsa Arab merupakan bangsa yang amat mementingkan asal usul keturunan mereka. 

Amalan dalam masyarakat Islam di Malaysia meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak semenjak dari zaman dahulu adalah selari dengan amalan bangsa Arab ini. Ia dikira sebahagian daripada ʻuruf(adat setempat) yang diiktiraf pada syarak sebagaimana kaedah yang menyebut:

العادة محكمة

Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”[3]

Kepentingan Nasab dalam Islam

Dalam konteks Islam, nasab dan keturunan merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dengan baik demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat. Jika tidak ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap institusi kekeluargaan seperti mengelirukan susur galur keturunan, menimbulkan fitnah dan masalah terhadap pembahagian harta pusaka.

Meskipun tanpa perletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ tidak merosakkan institusi kekeluargaan dan tidak menjejaskan nasab seseorang, namun akibat normalisasi amalan ini akan mengakibatkan penyalahgunaan sebahagian individu yang tidak bertanggungjawab. Sebagai contoh tanpa ‘bin’ atau ‘binti’ seseorang mampu membuat helah untuk menyembunyikan status anak angkatnya. Sedangkan sebagai seorang muslim wajib menisbahkan anak angkat itu kepada bapa kandungnya.

Selain itu, nasab merupakan tonggak utama dalam pembentukan sesebuah keluarga. Hal ini kerana setiap ahli keluarga mempunyai pertalian darah yang berhubung antara satu sama lain. Nikmat keturunan merupakan satu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap insan. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.[4] Firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا ۗ وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا ‎﴿٥٤﴾

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).”

Surah al-Furqan (54)

Perkataan ‘bin’ dan ‘binti’ ini juga mengambil contoh daripada beberapa sunnah Nabi SAW yang memanggil nama ahli keluarganya serta para sahabatnya dengan nama yang ada ‘bin’ dan ‘binti’. Contohnya, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:

قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: {وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ} [الشعراء: 214]، قَالَ: «يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ - أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا - اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ، لاَ أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ لاَ أُغْنِي عَنْكُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، يَا عَبَّاسُ بْنَ عَبْدِ المُطَّلِبِ لاَ أُغْنِي عَنْكَ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، وَيَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ لاَ أُغْنِي عَنْكِ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا، وَيَا فَاطِمَةُ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَلِينِي مَا شِئْتِ مِنْ مَالِي لاَ أُغْنِي عَنْكِ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW berdiri ketika Allah SWT menurunkan ayat: وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ (Maksudnya: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat)[Surah al-Syuʻara’: 214], Baginda SAW bersabda: “Wahai kaum Quraisy belilah diri-diri kamu, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Bani ‘Abd Manaf, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Safiyyah, ibu saudara Rasulullah SAW, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah kepadaku apa yang engkau mahu daripada hartaku dan aku juga tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT.”[5]

Riwayat al-Bukhari

Kesimpulan

Islam begitu menjaga nasab dan keturunan kerana ia merupakan salah satu daripada maqasid syariah yang lima. Dalam konteks Malaysia, tidak mahu meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftar di Jabatan Pendafataran Negeri adalah sah di sisi undang-undang dan tidak wajib di sisi hukum taklif. Namun, dalam pandangan syarak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama merupakan suatu perkara yang penting. Hal ini kerana, bagi menjaga institusi kekeluargaan masyarakat Islam daripada sebarang kerosakan seperti mengelirukan susur galur keturunan, menimbulkan fitnah dan menimbulkan konflik dalam isu pembahagian harta pusaka. Selain itu, telah menjadi kebiasaan amalan masyarakat Islam di Malaysia yang meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak dalam sijil daftar kelahiran.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan:

[1] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t.), hadis no. 4948, jld. 4: hlm. 287.

[2] Rujuk https://sinarplus.sinarharian.com.my/fyi/tip-daftar-nama-anak-di-jpn/.

[3] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Asybah wa al-Naza’ir (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), hlm. 89.

[4] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (Dimasyq: Dar al-Fikr, t.t.), jld. 10: hlm. 7247.

النسب أقوى الدعائم التي تقوم عليها الأسرة، ويرتبط به أفرادها برباط دائم من الصلة تقوم على أساس وحدة الدم والجزئية والبغيضة، فالولد جزء من أبيه، والأب بعض من ولده. ورابطة النسب هي نسيج الأسرة الذي لا تنفصم عراه، وهو نعمة عظمى أنعمها الله على الإنسان، إذ لولاها لتفككت أواصر الأسرة، وذابت الصلات بينها، ولما بقي أثر من حنان وعطف ورحمة بين أفرادها، لذا أمتن الله عز وجل على الإنسان بالنسب، فقال سبحانه: {وهو الذي خلق من الماء بشراً، فجعله نسباً وصهراً، وكان ربك قديراً}. [الفرقان:54/ 25]. ورعاية النسب أحد مقاصد الشريعة الخمسة.

[5] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 2753, jld. 4: hlm. 6.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...