73: PENAMAAN MAKANAN DAN MINUMAN: STATUS HALAL DAN ISUNYA

 73: PENAMAAN MAKANAN DAN MINUMAN: STATUS HALAL DAN ISUNYA

 

Mukadimah

Isu penamaan makanan halal dengan nama-nama yang seakan haram kembali menjadi topik utama di dada akhbar juga di media sosial kebelakangan ini. Cuma isu yang berlaku baru-baru telah menjadi satu fokus yang cukup hangat diperdebatkan dalam kalangan masyara’at Malaysia dan turut diketahui oleh media-media luar negara. Sedikit kesalahfahaman dalam isu ini akan membawa kepada pelbagai salahtanggapan terhadap institusi agama, Muslim dan Islam sendiri. Justeru, bagi memberi pencerahan dalam isu ini, kami ketengahkan Bayan Linnas terbaru bertajuk “Penamaan Makanan & Minuman: Status Halal & Isunya.

Diharapkan dengan Bayan Linnas ini akan menyelesaikan kemelut yang sedang melanda ini dan membina satu jambatan yang baik bagi hubungan antara masyara’at berbilang kaum, seterusnya menghormati dan memahami isu ini dengan pemahaman yang bersifat ilmiah dan jauh daripada sebarang sangkaan serta tuduhan yang akhirnya membawa kepada Islamophobia.

Asal Sesuatu Ialah Harus (Dibolehkan)

Dasar pertama yang telah ditetapkan oleh Islam ialah membawa asal sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT, biar apa jua barangan atau manfaat, asalnya ialah halal dan boleh digunapakai. Ini adalah berdasarkan sebuah kaedah fiqh:

اَلأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الِإبَاحَة

Maksudnya: Asal bagi setiap sesuatu adalah harus.

Justeru, tiada yang haram melainkan jika terdapatnya nas yang sahih dan jelas daripada syariat yang menetapkan pengharamannya. Jika tidak ada nas yang sahih, umpamanya ada sesetengah hadis yang dhaif, iaitu lemah ataupun tidak jelas dalam dalil tentang pengharamannya, maka tinggallah perkara itu seperti asalnya, iaitu Mubah (mengharuskan).

Ulama Islam menetapkan dasarnya bahawa semua barangan dan kemanfaatan ialah Mubah, iaitu membolehkan, berdasarkan ayat-ayat al-Quran al-Karim yang jelas.

Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ

Maksudnya: Dialah (Allah SWT) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi[1].

(Surah al-Baqarah: 29)

 

Firman Allah SWT lagi:

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripada-Nya.

(Surah al-Jathiah: 13)

Firman Allah SWT lagi:

أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَابٍ مُنِيرٍ

Maksudnya: Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah SWT telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin.

(Surah Luqman: 20)

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wa al-Haram berkata: “Mustahil bagi Allah SWT untuk menciptakan semua barangan ini untuk memudahkan manusia serta dikurniakan-Nya buat mereka semua ini. Kemudian, diharamkan-Nya kepada manusia dari semua barangan itu dengan tetap menjadikannya haram pula kepada mereka. Jika demikian, apa hikmahnya ianya diciptakan untuk manusia menikmatinya? Tentulah ianya bertentangan sama sekali. Tetapi sebenarnya, Allah SWT hanya mengharamkan sebahagian dari barangan itu, dengan adanya sebab dan hikmah yang akan kami jelaskan selepas ini. Dengan itu juga, lingkungan pengharaman dalam syariat Islam itu sangat sempit. Malah lingkungan penghalalannya pula sangat luas. Ini kerana nas-nas yang sahih lagi jelas membawa tentang hukum pengharaman itu sangat sedikit. Di samping itu, mana yang tidak ada nas dari hal penghalalannya atau pengharamannya, maka dihukumkan tetap di atas hukum asalnya, iaitu mubah (dibolehkan) atau dikategorikan dalam lingkungan yang dimaafkan oleh Allah SWT.

Di dalam hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis Nabi SAW:

مَا أَحَلَّ اللهُ في كتابِهِ فَهُو حَلاَلٌ وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ وَمَا سَكَتَ عَنهُ فَهُوَ عَفْوٌ فَاقْبَلُوا مِنَ اللهِ عَافِيَتُهُ فَإِنَّ اللهَ لَم يَكُن لِيَنْسَى شَيئًا وَتَلاَ )وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا(

Maksudnya: “Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tidak lupa barang sedikitpun. Kemudian Rasulullah SAW membaca daripada firman Allah SWT: Dan tiadalah Tuhanmu itu akan lupa.” (Surah Maryam: 64).

Riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya begitu juga dikeluarkan oleh al-Bazzar.

Menerusi sebuah riwayat daripada Salman al-Farisi RA, katanya: “Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hukum minyak sapi, keju dan keldai liar, lalu Baginda SAW menjawab:

الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللهُ في كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا لَكُمْ

Maksudnya“Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya. Dan mana-mana yang didiamkan-Nya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.”

Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah

Rasulullah SAW enggan menjawab persoalan tentang bahagian-bahagian yang kecil ini. Malah Baginda SAW menyerahkan perkara ini kepada mereka untuk menentukannya, sesuai dengan cara-cara yang dapat dirujuk tentang cara mengenal perkara yang halal dan haram. Oleh itu, memadailah mereka mengenal apa yang diharamkan oleh Allah SWT dan yang lain bolehlah dianggap halal dan baik.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائضَ فَلاَ تُضَيِّعُوهَا وَحَدَّ حُدُودًا فَلاَ تَعتَدُوهَا وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلاَ تَنتَهِكُوهَا وَسَكَتَ عَن أَشيَاءَ رَحْمَةً بِكُم غَيرَ نِسيَانٍ فَلاَ تَبْحَثُوا عَنهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu mensia-siakannya dan Allah SWT telah membataskan beberapa batasan, maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia mengharamkan pula beberapa barangan, maka janganlah membuatnya, dan Dia berdiam atas beberapa barangan sebagai tanda rahmat-Nya ke atas kamu, bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu mengungkitnya.”

Riwayat al-Daraqutni dan dihasankan oleh al-Nawawi

Suka diingatkan di sini, sesungguhnya asal Mubah atau membolehkan itu tidak terbatas kepada barangan dan harta benda, tetapi meliputi semua perbuatan dan pekerjaan, yang tidak termasuk urusan ibadat, iaitu yang biasa kita namakan sebagai “adat kebiasaan dan muamalah.”

Maka perkara yang asal pada semua ini ialah tidak haram dan tidak terikat dengan sesuatu hukum, kecuali jika memang sudah diharamkan oleh syariat dan ditetapkan hukumnya.

Firman Allah SWT:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu.

(Surah al-An’am: 119)

Ayat ini bersifat umum pada semua barangan dan perbuatan. Oleh itu, ianya berbeza dengan urusan ibadat[1] kerana yang demikian itu adalah dari perintah agama yang harus dipelihara yang tidak ditetapkan, kecuali menerusi jalan wahyu daripada Allah SWT. Dalam masalah ini, terdapat sebuah hadis Nabi SAW yang sahih, iaitu:

Rasulullah SAW bersabda:

مَن أَحْدَثَ في أَمْرِنَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang membuat suatu cara baru dalam urusan kami, yang tidak ada asalnya, maka ianya adalah ditolak.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

  

Halal Dan Haram Adalah Hak Allah SWT Semata-Mata

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wa al-Haram berkata: Sesungguhnya, Islam membataskan kekuasaan yang mempunyai hak menentukan halal dan haram dengan menarik hak itu dari tangan makhluk, biar apa sahaja darjatnya dalam agama Allah SWT atau dunia manusiawi. Lalu dijadikannya sebagai hak yang khusus bagi Allah SWT semata-mata. Tidak ada raja atau sultan, yang memiliki hak mengharamkan sesuatu dengan pengharaman abadi ke atas hamba-hamba Allah SWT. Barangsiapa yang berani melakukan demikian, maka dia telah melampaui batasnya dan melanggar hak ketuhanan dalam perundangan Allah SWT terhadap manusia. Sesiapa yang rela dengan perbuatan seperti itu dan tunduk terhadap perintahnya, samalah dia seperti menjadikan pelakunya sebagai menyekutukan Allah SWT dan dianggap ikutannya itu sebagai perbuatan syirik.

Firman Allah SWT:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

(Surah al-Syura: 21)

Al-Quran al-Karim telah mengecam kaum ahli Kitab, iaitu kaum Yahudi dan Nasrani yang berani meletakkan kuasa halal dan haram di tangan rahib dan paderi.

Firman Allah SWT:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maksudnya: Mereka menjadikan pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik selain dari Allah SWT, dan juga (mereka mempertuhankan) al-Masih Ibn Maryam, sedang mereka tidak diperintah melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha suci Allah SWT dari apa yang mereka sekutukan[3].

(Surah al-Taubah: 31)

 

Peristiwa kedatangan Adi bin Hatim RA kepada Nabi SAW dan ketika itu dia masih beragama Nasrani sebelum memeluk Islam. Apabila dia mendengar Nabi SAW membaca ayat yang tersebut di atas tadi, lalu dia berkata: “Hai Rasulullah! Sesungguhnya mereka tidak menyembah paderi dan pendeta itu!” Lantas Rasulullah SAW menjawab:

بَلَى إِنَّهُم حَرَّمُواْ عَلَيْهِمُ الْحَلاَلَ وَأَحَلُّواْ لَهُمُ الْحَرَامَ فَاتَّبَعُوْهُمْ فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ

Maksudnya: “Bahkan kerana sesungguhnya mereka telah mengharamkan ke atas para pengikut mereka yang halal dan menghalalkan buat mereka yang haram. Lalu mereka mengikutinya. Yang demikian itulah penyembahan mereka.”

Riwayat al-Tirmizi dan lainnya. Beliau telah menghasankannya

Dalam riwayat yang lain, dikatakan bahawa Nabi SAW memberikan penafsiran terhadap ayat tersebut dengan mengatakan:

أَمَّا إِنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْبُدُوْنَهُمْ وَلَكِنَّهُمْ كَانُواْ إِذَا أَحَلُّواْ لَهُمْ شَيئًا إِستَحَلُّوْهُ وَإِذَا حَرَّمُواْ عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ

Maksudnya: “Memanglah mereka (kaum ahli Kitab) itu tidak menyembah paderi dan pendeta mereka. Akan tetapi, apabila paderi dan pendeta mereka menghalalkan dan pendeta itu mengharamkan sesuatu ke atas mereka, mereka pun ikut mengharamkannya juga.”

Lihat riwayat al-Silsilah al-Sahihah 3293 al-Tirmizi

Sehingga sekarang, pengikut agama Kristian mendakwa bahawa al-Masih, iaitu Nabi Isa AS telah memberi kuasa penuh untuk menghalalkan atau mengharamkan apa sahaja - ketika Baginda SAW hendak naik ke langit - sesuka hati mereka, sebagaimana yang tersebut di dalam Injil Mathius 18: 18, yang bermaksud: “Kebenaran yang aku katakannya kepada kamu! Segala yang kamu tegah di atas bumi, akan ditegah pula di langit. Segala apa yang kamu halalkan di bumi akan menjadi halal pula di langit.”

Al-Quran al-Karim juga mengecam golongan Musyrik yang berani mengharamkan atau menghalalkan sesuatu tanpa keizinan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

Maksudnya: Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): "Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah SWT untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah SWT izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah SWT?

(Surah Yunus: 59)

Dan firman Allah SWT lagi:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah SWT. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah SWT tidak akan berjaya.

(Surah al-Nahl: 116)

Dari keseluruhan ayat dan hadis yang dijelaskan ini, para fuqaha Islam akan mengenal pasti secara yakin bahawa hanya Allah SWT sahaja yang mempunyai hak untuk menentukan mana yang halal dan mana yang haram di dalam kitab-Nya (al-Quran al-Karim) dan menerusi lisan Rasul-Nya (al-Sunnah) bahawa tugas para ulama itu tidak lebih daripada menyampaikan hukum-hukum Allah SWT itu pada perkara yang dihalalkan dan yang mana diharamkan.

Firman Allah SWT:

وَمَا لَكُمْ أَلَّا تَأْكُلُوا مِمَّا ذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُم

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu.

(Surah al-An’am: 119)

Bukanlah tugas para ulama itu membuat undang-undang agama kepada manusia dalam hal apa yang dibolehkan dan apa yang tidak dibolehkan.

Meskipun mereka itu memegang kepimpinan umat dan boleh berijtihad, mereka seringkali mengelak dari mengeluarkan fatwa-fatwa agama.

Kebiasaannya, mereka lebih suka menuding jari kepada orang lain dari diri mereka sendiri dalam masalah fatwa itu kerana mereka bimbang akan terjatuh ke dalam perkara yang salah apabila menghalalkan perkara yang haram ataupun mengharamkan perkara yang halal.

Imam al-Syafie meriwayatkan dalam kitabnya al-Umm daripada al-Qadhi Abu Yusuf, sahabat Imam Abu Hanifah berkata: “Aku lihat ramai dari para guru kita dari orang-orang yang ahli dalam ilmu fiqh, mereka sentiasa benci untuk mengeluarkan fatwa-fatwa agama dengan mengatakan: “Ini halal dan ini haram” kecuali menerangkan apa yang sudah tersebut di dalam al-Quran al-Karim dengan terang tanpa perlu kepada penafsiran lagi”.

Dikhabarkan kepadaku Ibn al-Sa’ib daripada al-Rabi’ bin Haitham dan beliau seorang tabiin yang masyhur, bahawasanya berkata: “Awaslah kamu jika seseorang dari kamu berani mengatakan: Bahawa Allah SWT telah menghalalkan yang ini dan merelakannya. Lalu Allah SWT menjawab kepadanya: Aku tidak pernah menghalalkan yang itu dan Aku tidak akan merelakannya! Ataupun dia berani mengatakan: Bahawa Allah SWT telah mengharamkan yang ini! Lalu Allah SWT menjawab: Dusta engkau! Aku tidak pernah mengharamkannya dan tidak pernah melarang sesiapa daripadanya!”

Dikhabarkan sebahagian sahabatku daripada Ibrahim al-Nakhaie dan dia juga termasuk fuqaha tabiin yang terkenal di kota Kufah. Dia mengkhabarkan tentang sebahagian sahabatnya, iaitu apabila mereka mahu berfatwa terhadap sesuatu atau mahu mencegah dari sesuatu, mereka hanya mengatakan begini: “Ini adalah makruh! Ini tidak mengapa membuatnya!” Itu sahaja. Tetapi jika mengatakan: “Ini halal dan ini haram!” Alangkah besarnya perkara itu! Lihat kitab al-Umm  7/317.

Begitulah nukilan Abu Yusuf daripada salafussoleh. Juga dinukilkan oleh Imam al-Syafie daripada Abu Yusuf serta diakui kebenarannya dan sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Muflih daripada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah bahawa para salafussoleh tidak pernah memutlakkan hukum haram ke atas sesuatu kecuali yang memang sudah diketahui pengharamannya secara pasti[4].

 

Begitu juga kita dapati seorang imam, seperti Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya tentang sesuatu perkara, beliau menjawab: “Aku benci hendak menjawabnya!” atau “Aku tidak menyukainya” atau “Hal ini tidak melegakan hatiku” atau “Aku tidak memandang bagus!”

Seperti itu jugalah diriwayatkan cara-cara Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan lain-lainnya ketika mereka menjawab sesuatu pertanyaan yang seumpama itu[5].

 

Mengharamkan Yang Halal Dan Menghalalkan Yang Haram Sama Dengan Syirik Kepada Allah SWT

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam al-Halal wa al-Haram berkata: Dan sekiranya Islam telah mengecam ke atas orang-orang yang mengharamkan dan menghalalkan keseluruhannya, namun ianya telah mengkhususkan orang-orang yang suka mengharamkan itu dengan kecaman yang lebih kuat dan lebih berat, memandangkan apa yang terdapat pada tujuan seperti ini, adanya kongkongan terhadap orang ramai dan menyempitkan terhadap apa yang diluaskan oleh Allah SWT kepada mereka tanpa ada sebab yang memaksanya. Ini kerana hal tersebut hanya memenuhi kehendak sebahagian agama yang keterlaluan[6] sahaja. Sedangkan Rasulullah SAW pernah membanteras sifat keterlaluan dan kekerasan dengan segala macam senjata serta mencela orang-orang yang keterlaluan itu dan memberitahu mereka dengan sanadnya:

أَلاَ هَلَكَ المُتَنَطِّعُونَ أَلاَ هَلَكَ المُتَنَطِّعُونَ أَلاَ هَلَكَ المُتَنَطِّعُونَ

Maksudnya: Ketahuilah binasa orang-orang yang keterlaluan itu! Ketahuilah binasa orang-orang yang keterlaluan itu! Ketahuilah binasa orang-orang yang keterlaluan itu!”

Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud

 

Kemudian, Baginda SAW mengisytiharkan tentang sifat kesederhanaan dalam perutusannya itu dengan sabdanya:

بُعِثْتُ بِالْحَنِيفِيَّةِ السَّمْحَةِ

Maksudnya: “Aku diutus dengan membawa suatu agama fitrah yang penuh toleransi.”

Riwayat Ahmad

Dia amat teguh dalam akidah dan tauhidnya, bersifat toleransi dalam amal dan undang-undang.

Lawan dari kedua-duanya ini ialah syirik dan kedua-dua inilah yang disebut oleh Nabi SAW pada apa yang diriwayatkan daripada Tuhannya Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi, hadis Qudsi yang berbunyi:

إِنِّيْ خَلَقْتُ عِبَادِي حُنَفَاءَ وَإِنَّهُمْ أَتَتْهُمُ الشَّيَاطِيْنُ فَاجْتَالَتهُمْ عَنْ دِيْنِهِمْ وَحَرَّمَتْ عَلَيْهِمْ مَا أَحْلَلْتُ لَهُمْ وَأَمَرَتهُمْ أَنْ يُشْرِكُواْ بِيْ مَا لَمْ أَنَزِّلْ بِهِ سُلطَاناً

Maksudnya:“Aku telah menciptakan hamba-hamba-Ku itu dalam keadaan bersikap lembut dan sesungguhnya mereka telah didatangi syaitan-syaitan, lalu menyesatkan mereka dari agama mereka dan mengharamkan ke atas mereka apa yang Aku halalkan bagi mereka serta menyuruh mereka supaya menyekutukan Aku dengan sesuatu yang Aku tidak turunkan sebarang keterangan padanya.”

Riwayat Muslim

Justeru, mengharamkan yang halal itu adalah suatu perbuatan yang boleh disamakan dengan syirik. Al-Quran al-Karim memberi ancaman kepada kaum Arab yang musyrik dalam kerja-kerja syirik dan penyembahan mereka terhadap patung-patung berhala dan juga terhadap pengharaman ke atas diri mereka dari pelbagai bentuk barangan yang baik dari jenis tanaman dan binatang ternakan, sedangkan Allah SWT tidak pernah mengizinkan mereka berbuat begitu.

Dalam perkara yang lain, mereka telah mengharamkan ke atas diri mereka binatang Bahirah, iaitu anak unta, yang dipotong telinganya yang dibiarkan duduk dengan ibunya dan mengharamkan Sa’ibah, iaitu unta betina yang dibiarkan bebas bersendirian, boleh berjalan ke mana sahaja tanpa diganggu oleh sesiapapun dan mengharamkan Wasilah, iaitu kambing betina yang beranak tujuh kali dan setiap kali beranak dengan dua ekor anak betina dan apabila ianya beranak kali kelapan dengan anak jantan, disembelihnya untuk berhala dan sekiranya ia beranak seekor jantan dan seekor betina, dibiarkannya kerana mereka mengatakan bahawa anak betinanya menemani anak jantan.

Lalu mereka tidak menyembelihnya dan mengharamkan Ham, iaitu unta jantan dijadikan baka, yang disediakan untuk dikacukkan dengan yang betinanya dan setelah tidak diperlukan lagi, dibiarkan untuk berhala dan tidak diperlukan untuk memikul barang-barang pula.

Al-Quran al-Karim mengingkari pengharaman ini terhadap mereka dan tidak membiarkan mereka menjadikannya sebagai suatu keuzuran kerana menurut upacara datuk nenek mereka dalam kesesatan ini.

Firman Allah SWT:

مَا جَعَلَ اللَّهُ مِنْ بَحِيرَةٍ وَلَا سَائِبَةٍ وَلَا وَصِيلَةٍ وَلَا حَامٍ وَلَكِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ وَأَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ. وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

Maksudnya: Allah SWT tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Sa'ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Ham. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah SWT, dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT (al-Quran al-Karim), dan kepada Rasul-Nya (yang menyampaikannya),” mereka menjawab: (Mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk[7]?

(Surah al-Maidah: 103-104)

Dalam ayat yang lain pula, terdapat perbincangan yang terperinci terhadap dakwaan mereka tentang perkara mengharamkan binatang-binatang ternakan berupa unta, lembu, kambing biri-biri dan kambing kampung yang diceritakan dalam al-Quran al-Karim dalam gaya bahasa yang mencabar, menjijikkan, tetapi membisukan.

 

Firman Allah SWT:

ثَمَانِيَةَ أَزْوَاجٍ مِنَ الضَّأْنِ اثْنَيْنِ وَمِنَ الْمَعْزِ اثْنَيْنِ قُلْ آلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ الْأُنْثَيَيْنِ أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنْثَيَيْنِ نَبِّئُونِي بِعِلْمٍ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ . وَمِنَ الْإِبِلِ اثْنَيْنِ وَمِنَ الْبَقَرِ اثْنَيْنِ قُلْ آلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ الْأُنْثَيَيْنِ أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنْثَيَيْنِ

Maksudnya: (Binatang ternak itu) lapan ekor - (empat) pasangan, dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (hai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): Adakah yang diharamkan oleh Allah SWT itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (syara’ dari Allah SWT yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar. Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (hai Muhammad): “Adakah yang diharamkan Allah SWT itu dua jantannya atau dua betinanya?

(Surah al-An’am: 143-144)

Dalam surah al-A’raf pula, terdapat perbincangan yang lain, di mana Allah SWT mengingkari ke atas orang-orang yang berihram haji dan menerangkan padanya sebab pengharaman yang kekal itu.

Firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah (hai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah SWT yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya.”

(Surah al-A’raf: 32)

Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau tersembunyi, perbuatan dosa, dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar, dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah SWT sedang Allah SWT tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya), dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah SWT sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.”

(Surah al-A’raf: 33)

Semua perbincangan yang terdapat di dalam surah-surah yang diturunkan di Mekah ini, pada kebiasaannya memaparkan tentang keteguhan akidah dan tauhid serta keadaan di hari akhirat menurut al-Quran al-Karim, yang menunjukkan kepada kita bahawa perkara ini bukanlah dikira dari perkara-perkara cabang dan bahagian, akan tetapi ianya termasuk dalam permasalahan pokok dan keseluruhan.

Di kota Madinah, memang sudah ada beberapa individu dari umat Islam yang cenderung dengan sikap keras dan mengambil yang berat serta mengharamkan rezeki yang baik-baik ke atas diri mereka. Maka Allah SWT menurunkan firman-Nya yang jelas untuk menghentikan mereka pada had batasan Allah SWT dan mengembalikan mereka ke jalan Islam yang lurus.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ . وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah SWT bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah SWT kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.

(Surah al-Maidah: 87-88)

Galakkan Makanan Yang Halal

Kami nukilkan daripada kitab al-Kafi Syarah Hadis 40. Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِيْنَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِيْنَ فَقَالَ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحاً – وَقاَلَ تَعَالَى: يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ – ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيْلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ ياَ رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ .

Maksudnya“Sesungguhnya Allah Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, diamenadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”

Riwayat Muslim (1015)

 Hadyu Nabawi dan Istifadah Hadis

PertamaTayyib bermaksud suci bersih dari segala kekurangan. Dikatakan tayyib sebagai salah satu sifat Allah. Lihat Ikmal al-Mu’lim (3/535)

Kedua: Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Bahawa seorang mukmin itu semuanya baik hati, lidah dan tubuh badannya lantaran iman yang terdapat di dalam hantinya, zikir yang lahir pada lidahnya dan amalan soleh yang lahir pada seluruh anggotanya yang merupakan hasil daripada keimanan bahkan iannya termasuk di dalam pengertian iman.”

Ketiga: Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

MaksudnyaWahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Mukminun: 51)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Dikehendaki dengan ayat ini bahawa para Rasul dan umat mereka diperintahkan untuk memilih makanan yang baik yang halal dan beramal dengan amalan soleh. Ini kerana, apabila makanan itu halal maka sudah tentu amalan soleh akan diterima oleh Allah.”

Al-Maraghi berkata: “Walaupun perintah ini ditujukan kepada para Nabi namun umatpun disaran untuk mengikuti mereka. Ini seolah-olah Allah SWT berfirman kepada kita: Wahai kaum muslimin yang berada di seluruh pelusuk bumi, makanlah makanan yang halal bersih dan baik. Yang halal ialah yang tidak mengandungi penderhakaan kepada Allah, manakala yang bersih ialah tidak mengandungi perkara yang dapat melupakan Allah, yang baik pula ialah dapat menahan nafsu dan memelihara akal. Oleh itu, kerjakanlah amal soleh.”

Keempat: Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.

(Surah al-Baqarah: 172)

Sayyid Qutb berkata: “Dialah yang mengharuskan makanan yang baik yang dikurniakan kepada mereka iaitu Allah menyedarkan mereka bahawa Dia tidak sesekali mengharamkan sesuatu yang baik dan apabila Dia mengharamkan sesuatu makanan maka beerti makanan itu sebenarnya tidak baik, bukannya semata-mata Dia mahu mengharamkannya dan menyusahkan mereka. Malah Dia-lah dari mulanya yang melimpahkan rezeki kepada mereka.”

Kelima: Al-Maraghi berkata: “Di sini perintah memakan makanan yang baik didahulukan berbanding dengan perintah mengerjakan amalan soleh, bagi menunjukkan bahawa amalan soleh tidak akan diterima jika tidak didahului dengan memakan makanan yang halal.”

Keenam: Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Daripada sebesar-besar yang menghasilkan amalan yang baik bagi orang yang beriman adalah baik makanannya, iaitu daripada punca dan sumber yang halal. Dengan demikian akan membawa kepada baik dan suci amalannya. Hadis ini menunjukkan bahawa tidak diterima amalan dan tidak suci serta bersih kecuali dengan makanan yang halal.”

Ketujuh: Hadis ini juga memberikan pengertian bahawa kita akan menuai pahala atas apa yang kita makan jika semua itu kita niatkan sebagai bekal untuk melakukan ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah.

 

Menamakan Makanan Dengan Nama Yang Haram dan Tidak Elok

Islam telah memberikan garis panduan di dalam soal pemakanan agar memudahkan umatnya dalam meneruskan kehidupan seharian. Kaedah umum yang disebutkan di dalam Al-Quran adalah sepertimana firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk

(Al-A’raf: 157)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah membawakan pendapat sebahagian ulama’ mengenai ayat di atas iaitu apa yang dihalalkan oleh Allah SWT, ianya sesuatu yang baik dan bermanfaat buat tubuh badan dan juga agama. Bagi setiap yang diharamkan-Nya pula adalah sesuatu yang buruk dan memudaratkan tubuh badan serta agama.

Kaedah juga menyebutkan, asal bagi sesuatu (yang bukan bersifat ibadah) adalah diharuskan iaitu dibenarkan melainkan ada nas yang melarangnya. Kaedah ini digunapakai secara meluasnya dalam isu makanan dan minuman.

Sesuatu yang haram tidak mungkin boleh dihalalkan kecuali terdapat nas yang menyebutkannya. Arak misalannya akan kekal haram meskipun ‘dijenamakan’ dengan sesuatu yang halal. Ini kerana zatnya adalah sesuatu yang memabukkan dan bagi setiap yang memabukkan itu adalah haram. Jika hilang sifat memabukkan itu, maka akan hilang juga keharaman ke atasnya. Sebagai contoh, arak yang telah bertukar menjadi cuka secara semulajadi ataupun melalui proses yang dilakukan oleh manusia untuk menukarkannya.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh ramai ulama’ dan fuqaha’ iaitu sesuatu itu diambil kira dari segi hakikatnya dan bukan luarannya semata-mata. Kaedah fiqh ada menyebutkan:

اَلعِبْرَةُ بِالحَقَائِق وَالمَعَانِي لَا بِالأَلْفَاظِ وَالمَبَانِي

Maksudnya: Yang diambil kira adalah pada hakikat dan maknanya dan tidaklah pada lafaznya dan juga binaan luarannya.

Perkara yang sama juga turut dibincangkan oleh al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in.[8]

Oleh itu, sesuatu yang pada asalnya adalah benda yang halal, selagi mana hakikat zatnya itu halal maka ia kekal halal meskipun disebut dengan sesuatu yang haram dimakan. Ini kaedah umum yang perlu diketahui oleh semua pihak.

Berikut adalah beberapa hadith yang menceritakan akan terdapat satu kumpulan atau golongan manusia yang bermain-main dengan nama atau istilah. Mereka akan menukar atau mengubah nama sesuatu benda agar ia dilihat baik. Contohnya, mereka menukar nama sesuatu benda yang haram kepada nama yang lain agar ia dilihat halal. Antara hadith yang menceritakan akan perkara ini adalah:

  • Daripada Abu Malik al-Asy’ari RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ، يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

Maksudnya: “Sebahagian manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang lain (menukar namanya)”. [Riwayat Abu Daud (3688 dan 3689), al-Nasa’ie (5658) dan Ibn Majah (4020)]

  • Daripada Abu Umamah al-Bahiliy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَذْهَبُ اللَّيَالِي وَالْأَيَّامُ، حَتَّى تَشْرَبَ فِيهَا، طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ، يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

Maksudnya: “Tidak akan berlalu malam dan siang sehingga sekumpulan daripada umatku meminum arak, mereka juga memberi (menukar) nama tersebut dengan nama yang lain”. [Riwayat Ibn Majah (3384)]

Antara pendapat ulama’ dalam menilai hadith ini:

  • Imam Abu daud tidak memberi apa-apa komentar terhadap hadith ini maka hadith ini adalah solih (صالح) di sisinya. [Lihat: Sunan Abu Daud, 329/3]
  • Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai sahih. [Lihat: Taghliq al-Ta’liq, 21/5]
  • Imam al-Sakhawi mengatakan hadith thabit daripada Rasulullah SAW. [Lihat: al-Ajwibah al-Mardiyyah, 215/1]

Adapun yang dimaksudkan dengan menukar nama sesuatu adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Turbashtiy bahawa mereka menutup apabila meminumnya dengan nama-nama air rendaman buah-buahan atau kurma. Telah berkata Ibn al-Malik, mereka mendekatkan pada meminumnya dengan nama-nama air rendaman yang dibolehkan seperti air madu, air jagung dan sebagainya. Untuk itu, mereka menyangka bahawa ianya adalah tidak haram kerana ia bukanlah daripada anggur atau kurma. Dengan itu, mereka telah berdusta kerana setiap yang memabukkan itu adalah haram. Al-Qari juga berkata bahawa mengikut atau melakukan gaya seperti meminum arak adalah dilarang apabila mencukupi syaratnya, walaupun yang diminum itu adalah air biasa, susu dan juga selain daripada keduanya. [Lihat: Aun Ma’bud, 608/9 Semak semula]

Syeikh Abd al-Muhsin al-Badr ketika mensyarahkan hadith ini di dalam sunan Abu Daud menyatakan bahawa arak ialah setiap yang memabukkan. Hukum berkaitan dengan mabuk (tetap haram) walau perkara atau benda yang memabukkan ini dinamakan dengan apa sahaja. Ini kerana, sesungguhnya ibrah (yang diambil kira) adalah pada hakikat bukan pada lafaz walaupun arak itu dinamakan dengan sesuatu yang tidak dikenali. Kadang-kadang nama itu secara zahirnya baik dan cantik tetapi nama itu tidak dapat mengubah hakikat sesuatu itu. Pengharaman berlaku dan hukumnya (haram) tetap ada walau ia dinamakan dengan nama lain. Hadith ini adalah ikhbar (petunjuk) daripada Nabi SAW bahawa akan datang sekumpulan manusia yang meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. Contohnya, mereka akan mengatakan air anggur, air gandum atau selain daripadanya. Maka dengan itu, setiap minuman yang sampai ke tahap memabukkan adalah diharamkan dan jika sebaliknya iaitu tidak sampai ke had yang tidak memabukkan adalah halal. Sekalipun ia sampai ke had yang memabukkan samada sikit atau banyak, hukumnya tetap haram.

Berdasarkan penerangan di atas, antara fiqh al-hadith yang boleh diambil daripada hadith di atas adalah:

  • Hadith ini menunjukkan I’jaz Nabawi iaitu nabi SAW menceritakan perihal umat yang akan berlaku selepas kewafatan beliau SAW.
  • Akan datang satu kumpulan daripada umat Nabi Muhammad SAW yang akan mengubah dan menukar sesuatu nama bagi menghalalkan perkara tersebut.
  • Walaupun nama sesuatu perkara itu dilihat baik dan halal tetapi ia bukan menjadi kayu ukur akan baik dan halalnya sesuatu perkara Ini kerana yang dilihat adalah hakikat perkara atau benda tersebut bukannya pada penamaan.

 

Isu Tasyabbuh

Dalam isu ini, tidak diharuskan memberi nama makanan atau minuman yang halal dengan menggunakan nama yang haram yang telah terkenal di sisi orang-orang bukan Islam ataupun golongan fasiq. Hal ini kerana, terdapat sebuah hadis sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia terdiri dari kalangan mereka.

            Riwayat Abu Daud (4031)

Syeikh Mulla Ali Al-Qari Rahimahullah ketika mengulas hadis ini berkata: Sesiapa yang menyerupai golongan kafir seperti pada pakaian atau selainnya (makanan atau minuman) maka dia merupakan sebahagian daripada mereka (pada dosa dan kebaikan). Lihat Mirqat Al-Mafatih, Mulla Ali al-Qari (8/155).

Kata Hujjat al-Islam Imam Al-Ghazali: Sekiranya sekumpulan manusia itu berkumpul lalu mereka menghiaskan majlis-majlis mereka dengan mendatangkan bahan-bahan minuman dan bekas-bekas air serta mereka menuangkan di dalamnya al-Sakanjabin[9], kemudian ada di antara mereka yang menjadi penuang air yang berpusing di sekitar mereka dan memberi minum kepada mereka, maka yang demikian itu adalah haram hukumnya kerena menyerupai golongan ahli fasad (yang berbuat keburukan) sekalipun air yang diminum itu adalah air yang halal. Lihat Ihya Ulumiddin, Al-Ghazali (2/272).

 

Konsep Uruf Dalam Penamaan Makanan

Di dalam Islam, uruf ataupun adat sesebuah masyara’at juga merupakan di antara faktor penting dalam penamaan sesuatu makanan. Ini kerana, uruf itu terbahagi kepada dua iaitu:

  • Uruf sahih.
  • Uruf fasid (adat yang buruk).

Hakikatnya, uruf sahih itu adalah sesuatu perbuatan atau ucapan yang tidak bercanggah dengan nas-nas syara’, tidak menghilangkan sesuatu maslahah serta tidak mendatangkan sebarang kerosakan. Manakala uruf yang fasid pula adalah suatu perkataan atau perbuatan yang bercanggah dengan nas syara’, mendatangkan kemudharatan atau menghalang maslahah.

Demikian juga, kami turut mendapati bahawa Islam amat menitikberatkan serta mengambil perhatian berkaitan penamaan sesuatu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقُولُوا رَاعِنَا وَقُولُوا انظُرْنَا وَاسْمَعُوا وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman janganlah kalian mengatakan raa’ina dan katakanlah ‘kami telah melihat’ serta dengarlah kalian dan bagi golongan kafir itu azab yang pedih.

Surah Al-Baqarah (104)

Kata Imam Al-Baghawi Rahimahullah: (Hal ini adalah) supaya golongan Yahudi tidak menjadikan perkataan itu sebagai suatu jalan untuk menghina Rasulullah S.A.W. Lihat Ma’alim Al-Tanzil, Al-Baghawi (1/133).

Justeru, kami nyatakan di sini bahawa setiap penamaan yang dapat memberikan implikasi negatif kepada umat Islam juga perlu ditukarkan kepada nama yang lebih baik.

Dalam perbincangan bersama berkenaan isu ini[10] di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Prof. Dr. Muhammad Amin Al-Butush menyatakan bahawa umat Islam perlulah mempunyai imej tersendiri tanpa perlu terikat dengan nama-nama yang telah diberikan oleh barat. Ini kerana, pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu terdapat beberapa nama individu yang telah ditukar oleh baginda disebabkan maksudnya yang buruk. Contohnya dapat kita lihat daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:

أَنَّ ابْنَةً لِعُمَرَ كَانَتْ يُقَالُ لَهَا عَاصِيَةُ فَسَمَّاهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم جَمِيلَةَ

Maksudnya: Sesungguhnya seorang anak perempuan Umar dahulunya dinamakan sebagai ‘Aasiyah lalu Rasulullah S.A.W menamakannya sebagai Jamilah.

Riwayat Muslim (2139)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi S.A.W menukar nama yang memberi maksud yang tidak baik iaitu ‘Aasiyah (perempuan yang bermaksiat) kepada nama yang baik iaitu Jamilah (wanita yang cantik).

Hal ini juga pada hakikatnya adalah selari dengan Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Malaysia Standard MS 1500:2009 yang menjadi asas kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pengurusan pensijilan halal.

Ini bermakna JAKIM dan JAIN tidak akan mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana syarikat atau produk yang menggunakan nama-nama yang dikaitkan dengan perkara haram.

Dalam perkara 4.5 (g) Prosedur Pensijilan Halal Malaysia menyatakan: “Permohonan pensijilan halal ditolak sekiranya mengunakan perkataan atau nama yang sinonim dengan perkara yang haram seperti bak kut teh dan sebagainya.”

Dalam klausa 3.7.4 MS 1500:2009 juga menyebut: “Makanan halal dan bahan perasa tiruan halal, hendaklah tidak menggunakan nama atau nama yang sinonim dengan istilah yang mengelirukan atau merujuk kepada makanan tidak halal seperti ham, bak kut teh, bacon, bir, rum dan sebagainya.”

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Selepas melihat kepada situasi yang berlaku, dengan merujuk kepada nas-nas syara’ serta hujahan aqli dan prosedur yang ditetapkan maka kami dapati bahawa:

  • Tidak boleh untuk menamakan sesuatu yang halal dengan sesuatu yang haram.
  • Hendaklah kita menjauhkan dari sebarang unsur tasyabbuh kerana ia memberi mudharat dan kekeliruan kepada masyara’at awam.
  • Hendaklah ditukarkan nama-nama yang tidak baik kepada penamaan yang baik sekalipun proses itu dilakukan secara berperingkat selaras dengan ajaran Islam.
  • Dalam memberikan ulasan terhadap sebarang isu, adalah amat wajar kita berpandukan kepada Nas Ilahi dan Hadis Nabawi agar ia selari dengan tuntutan syara’. Begitu juga tindakan yang diambil oleh pihak berwajib seperti JAKIM dan juga JAIN adalah mengikut prosedur serta berbetulan dengan apa yang dituntut oleh syara’ khususnya yang berkaitan dengan isu halal dan haram ini.
  • Warga Malaysia walaupun beragama yang lain daripada Islam sewajarnya menghayati prinsip rukun Negara dan juga perlembagaan Malaysia.
  • Sewajarnya kita mengelakkan dalam sebarang bentuk tindakan dan kenyataan yang boleh menggerhanakan hubungan antara agama dan kaum. Inilah prinsip terpenting dalam melayari bahtera kehidupan kita di Negara ini.
  • Prinsip menghormati agama Islam dan agama lain dalam beramal dengan penuh tasamuh dan toleransi akan menatijahkan keharmonian rakyat Negara ini dalam beramal dengan agama masing-masing perlu dipertahankan.

Semoga pencerahan yang diberikan ini dapat memberikan kefahaman kepada kita semua. Ameen.

 

Akhukum Fillah,

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

29 Oktober 2016 bersamaan 28 Muharram 1438H.

 

 

[1] Sayid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Kata-kata “untuk kamu” mempunyai makna dan saranan yang amat mendalam. Ianya merupakan satu kenyataan tegas bahawa Allah SWT menciptakan makhluk untuk satu tujuan yang amat besar, iaitu Allah SWT jadikan insan untuk menjadi khalifah di bumi, yang dapat memiliki segala apa yang ada padanya serta bertindak aktif di sana.

Nikmat Allah SWT terhadap manusia yang dibangkitkan di dalam ayat ini bukan semata-mata pengurniaan segala isi bumi kepada mereka, di samping nikmat itu ialah menguasai segala isi bumi dan pengurniaan nilai yang lebih tinggi dari segala kebendaan, iaitu nikmat pelantikan menjadi khalifah, yang mengatasi pemilikan dan pengambilan faedah yang besar.

[2] Imam al-Raghib berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya ibadah itu lebih luas daripada kemuliaan (al-Makramah).” Sesungguhnya setiap perbuatan yang mulia adalah ibadah, dan tidak setiap ibadah itu mulia. Di antara perbezaan kedua-dua perkara ini ialah bahawa ibadah mempunyai perkara-perkara fardu yang telah diketahui dan batas-batas yang telah ditetapkan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia dianggap melanggar batas. Sedangkan pernuatan yang mulia adalah sebaliknya. Manusia tidak akan sempurna kemuliaannya selama dia belum melakukan kewajipan-kewajipan dalam ibadahnya. Justeru, melaksanakan kewajipan dalam ibadah merupakan sesuatu yang adil, sedangkan melaksanakan kemuliaan merupakan sesuatu yang hukumnya sunat. Perbuatan yang sunat tidak akan diterima Allah SWT daripada orang yang mengabaikan perkara-perkara yang wajib. Dan orang yang meninggalkan kewajipan tidak dianjurkan untuk mencari keutamaan dan kelebihan, kerana mencari kelebihan tidak dibenarkan kecuali setelah seseorang melakukan keadilan. Sesungguhnya keadilan merupakan sesuatu yang wajib dan keutamaan adalah tambahan terhadap perkara yang wajib. Bagaimana mungkin ada tambahan terhadap sesuatu yang dia sendiri masih kurang. Oleh sebab itu, benarlah ucapan bahawa: Orang yang mengabaikan perkara-perkara yang asas tidak akan sampai kepada tujuannya.”

[3] Al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran berkata: Mereka menjadikan paderi dan pendeta mereka sama seperti Tuhan-tuhan, di mana mereka mentaatinya dalam semua perkara.

 

[4] Untuk menguatkan perbincangan ini, iaitu apa yang diriwayatkan bahawa para sahabat tidak meninggalkan minuman khamar secara keseluruhan sesudah turun ayat-Nya:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Hai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia.

(Surah al-Baqarah: 219)

Ini kerana ayat tersebut bukanlah di sisi mereka bersifat tetap dalam pengharaman hingga turunnya ayat daripada surah al-Maidah.

[5] Sepatutnya orang-orang yang bertaqlid itu mengetahui supaya tidak selalu terburu nafsu untuk mengatakan sesuatu perkara itu: “Ini adalah haram!” secara mutlak sahaja, sedangkan mereka tidak mempunyai dalil yang tepat ataupun yang mendekati kepada dalil tepat itu.

[6] Antara bentuk keterlaluan banyak mempersoalkan perkara yang kecil dan remeh-temeh. Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengemukakan ulasan hadis (penduduk Iraq bertanya tentang lalat pada hal mereka telah membunuh cucu Rasulullah SAW). Dalam komentar pakar hadis antaranya al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Ibn Umar R.Anhuma meriwayatkan hadis ini dengan penuh kehairanan terhadap semangat penduduk Iraq yang menanyakan perkara kecil, tetapi mereka melanggar perkara yang lebih besar.

Ibn Battal pula berkata: Terdapat satu pengajaran yang dapat kita ambil daripada hadis tersebut, iaitu bahawa seseorang harus mendahulukan perkara agama yang lebih penting untuk dirinya. Kerana sesungguhnya Ibn Umar R.Anhuma tidak senang terhadap orang yang bertanya kepada dirinya tentang darah nyamuk, pada hal dia meninggalkan istighfar daripada dosa besar yang dilakukannya iaitu dengan memberikan bantuan terhadap pembunuhan Saidina Husin. Ibn Umar R.Anhuma mencela orang tersebut dan mengingatkan peristiwa itu kerana besar dan tingginya kedudukan Saidina Husin RA daripada sisi Nabi SAW.

[7] Al-Qurtubi berkata: Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan pengharaman keduanya, sedangkan mereka menyangka bahawa apa yang mereka lakukan bagi mendapat keredaan Tuhan mereka dalam mentaati Allah SWT. Sebenarnya, mentaati Allah SWT diketahui melalui firman-Nya, bukan sekadar sangkaan mereka bahawa Allah SWT berkata sedemikian dan ini termasuk dalam mendustakan Allah SWT.

[8] Lihat I’lam al-Muwaqqi’in (5/175-176)

[9] Minuman yang mengandungi masam dan manis sepertimana yang dinyatakan dalam Mu’jam al-Wasit (1/440)

[10] Pada 27 Oktober 2016 di bilik Mufti Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Bayan Linnas

 Bayan Linnas adalah satu kumpulan artikal yang digerakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Ia sangat bagus sebagai satu bahan  untuk mendapat...