159: MUKTAMAR ‘’KESATUAN ISLAM: BAHAYA BERPUAK DAN BERPECAH BELAH’’
Mukadimah
Pada 12 hingga 13 Disember yang lepas bersamaan 4 dan 5 Rabi’ al-Akhir 1440 Hijrah, kami dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah dijemput untuk menghadiri satu muktamar bertajuk ‘’Kesatuan Islam: Bahaya Berpuak Dan Berpecah Belah’’ yang bertempat di Makkah al-Mukarramah. Muktamar yang dianjurkan oleh pihak Rabithah Al-‘Alam Al-Islami[1] atau Muslim World League ini turut melibatkan penyertaan hampir 1200 orang peserta yang terdiri dari para mufti, tokoh-tokoh agamawan dan pendakwah dari 127 buah negara.
Objektif Muktamar
Berikut merupakan beberapa objektif muktamar seperti yang ditetapkan oleh pihak penganjur:
Pertama: Menghimpunkan pendapat para ulama, pendakwah, dan tokoh-tokoh pemikir umat Islam serta mentaqribkan (mendekatkan) sudut pandang sesama mereka, berserta dengan kefahaman yang matang menurut konsep Islami dan juga hadhari terhadap sunnatullah berkenaan perbezaan dan juga kepelbagaian. Juga memberikan penekanan bahawa menjadi tanggungjawab kepada semua pihak untuk menyatukan saf umat Islam dari dalam berserta dengan husn al-ta’amul (elok dalam berurusan) dan saling membantu yang menjadi contoh kepada orang lain dari kalangan bukan Islam, yang menunjukkan kepada prinsip agama kita yang cintakan kesejahteraan dan ketenangan serta menolak sebarang bentuk keganasan dan kemelampauan.[2]
Kedua: Menguatkan kesedaran terhadap peri pentingnya menyebarkan prinsip wasathiyah[3] dari sudut keilmuan, pemikiran dan juga kemasyarakatan, serta menjelaskan hakikat agama Islam yang sebenar kepada seluruh masyarakat.
Ketiga: Mencadangkan supaya tindakan segera dilakukan bagi menghalang aktiviti-aktiviti yang membawa kepada permusuhan, kebencian, serta perbalahan kumpulan-kumpulan tertentu.
Keempat: Mewujudkan siaran-siaran yang dapat menghubungkan antara pengikut-pengikut mazhab Islam dengan tujuan untuk membina jambatan kepercayaan dan saling memahami serta saling membantu atas asas kebersamaan umat Islam.
Kelima: Memberi penegasan terhadap mafhum (kefahaman) prinsip Al-Wahdah Al-Islamiyyah (kesatuan Islam), terhadap apa yang terkandung di dalam prinsip tersebut dari makna kasih sayang, kesejahteraan, saling bertemu dan melengkapkan antara umat dan negara-negara umat Islam.
Keenam: Memanjangkan jambatan (yang menghasilkan) perasaan tsiqah (kepercayaan), saling memahami, serta saling bertukar pandangan dengan orang lain dari kalangan bukan Islam. Serta mengukuhkan prinsip kenegaraan, kekeluargaan, dan kemanusiaan yang satu yang diambil dari konsep kesatuan umat Islam dalam menyebarkan kasih sayang dan kebaikan kepada kesemua golongan.
Kesatuan Islam: Bahaya Berpuak dan Berpecah Belah
Secara asasnya umat Islam disifatkan sebagai sebuah umat yang satu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku).
Surah Al-Anbiya’ (92)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma dan anak-anak muridnya seperti Mujahid dan Sa’id bin Jubair dalam menafsirkan ayat ini mereka berkata: ‘’Agama kamu adalah agama yang satu’’.
Imam Hasan al-Basri pula berkata: Maksudnya adalah “Sunnah kamu adalah sunnah yang satu’’. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim, Ibn Kathir (5/373).
Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di pula menafsirkan ayat tersebut dengan katanya: Kesemua mereka (iaitu para Rasul) berada di atas agama yang satu, jalan yang satu, serta Tuhan yang satu. Lihat Taisir Karim al-Rahman, As-Sa’di (5/1083).
Begitu juga terdapat sebuah hadis yang menggambarkan keutuhan dan kekukuhan persaudaraan sesama umat Islam yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.
Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi
(1847), al-Nasa'ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)
Imam Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.
Beliau berkata lagi: Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (10/439).
Demikian juga terdapat banyak larangan ke atas sikap berpecah belah sama ada dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Ini seperti firman Allah SWT:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya: Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.
Surah Ali Imraan (103)
Imam al-Qurtubi Rahimahullah dalam tafsirnya ke atas ayat ini menyebut: ‘’Iaitu janganlah kamu berpecah belah di dalam agama kamu seperti berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka’’. Kemudian beliau berkata lagi: ‘’Boleh juga ia membawa erti janganlah kamu berpecah belah dengan mengikuti hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang berbeza, dan jadilah bersaudara di dalam agama Allah. Maka yang demikian itu akan menghalang kamu dari berpecah belah dan saling bermusuhan’’. Lihat Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi (4/151).
Begitu juga larangan berpecah belah disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Arfajah bin Shuraih bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُضُ
Maksudnya: Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan al-jama’ah. Dan sesungguhnya syaithan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jamaah (kelompok umat Islam).
Riwayat Al-Nasa’ie (4020)
Kenyataan-Kenyataan Tokoh
Berikut merupakan beberapa kenyataan para ulama dan tokoh yang turut menghadiri serta menyampaikan pembentangan pada muktamar tersebut:
Pertama: Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi
Samahah Al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdillah Aalu Syeikh menyebutkan beberapa perkara berikut:
- Menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam untuk beriltizam (berpegang teguh) dengan agama mereka yang menghilangkan sebarang bentuk pemisah sesama manusia. Serta (agama) mengabaikan semua jenis pembahagian dan pembezaan yang terbina atas asas warna kulit, perbezaan bahasa, mahupun keturunan.
- Memberi peringatan akan hilangnya semangat ijtima’ (kesatuan dan kesepakatan) sesama kebanyakan umat Islam. Serta wujudnya sebahagian unsur-unsur negatif dari sudut perpecahan dan juga perbalahan.
- Menyeru seluruh umat Islam untuk bersatu kalimah dan juga merapatkan saf di bawah lembayung Islam sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Kitab dan Al-Sunnah serta menyelusuri manhaj salaf al-ummah.
Kedua: Mufti Besar Mesir
Fadhilah Al-Syeikh Prof. Dr. Shauqi Ibrahim ‘Allam dalam pembentangannya di dalam muktamar tersebut menyatakan beberapa noktah yang berikut:
- Berlakunya pelbagai kejadian dan tribulasi perlu menjadikan keutamaan para ulama, pemikir, serta pengkaji untuk meneliti dan mencari jalan keluar terbaik kepada umat Islam dari terjebak kepada sebarang bentuk fitnah.
- Sesungguhnya bahaya itu bukanlah pada perbezaan pendapat satu-satunya, selama mana ia (perselisihan) itu terhasil daripada ijtihad dan juga penelitian. Namun bahaya yang sebenarnya adalah pada wujudnya budaya menghukum orang lain dengan tuduhan kafir dan saling memberi gelaran yang buruk.
- Mempelajari fiqh al-ikhtilaf (perbezaan pendapat) yang sahih serta menjauhkan umat dari bahaya kelompok-kelompok yang memecahbelahkan kesatuan (umat Islam).
Ketiga: Pengerusi Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Al-‘Allamah Al-Syeikh Abdullah bin Bayyah menyebut dalam ucapannya beberapa perkara berikut:
- Kesatuan adalah suatu pilihan. Ia perlu diraikan secara tadarruj (berperingkat) dengan melihat kepada konteks masa, tempat, dan juga manusia.
- Mafhum kesatuan tidaklah bermakna seluruh umat Islam berada di bawah suatu pentadbiran yang sama. Sistem khilafah (pemerintahan) adalah perkara yang maslahi (melihat kepada maslahah) dan bukannya ta’abbudi. Inilah yang menjadi pemangkin kepada para cendekiawan hari ini dalam menubuhkan banyak organisasi dan pertubuhan untuk saling membantu dan bekerjasama.
- Kepelbagaian negara-negara Islam dan para pemerintah mereka adalah perkara yang biasa menurut sejarah. Dan tidak tsabit bahawa adanya seorang yang berusaha untuk menyatukan negara-negara di bawah panji yang satu atas faktor akidah serta mewajibkan sistem khilafah dan pemerintah yang satu.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ ۚ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِن قَبْلُ وَفِي هَـٰذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ ۚ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّـهِ هُوَ مَوْلَاكُمْ ۖ فَنِعْمَ الْمَوْلَىٰ وَنِعْمَ النَّصِيرُ
Maksudnya: Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
(Surah al-Haj: 78)
Meminjam kata-kata Dr. Fathi Yakan: Dalam keadaan pahitnya pengalaman yang ditempuhi, peritnya musibah yang menimpa; umat ini masih kekal terkepung dalam kemusnahan dan kejatuhannya, terikat dengan sentimennya serta terpedaya dengan slogan-slogan palsu dan luaran yang memperdaya. Ini semua menjadikan mereka – buat kali keduanya, ketiganya, keempatnya – terus-menerus ditimpa kekalahan satu demi satu. Segala slogan yang dilaungkan sama ada slogan ‘mengorak kemajuan’, ‘revolusi’, ‘konsep sama-rata’; semuanya langsung tidak memberi apa-apa kesan. Bahkan, hubungan erat yang terbina langsung tidak mampu menahannya daripada terus ditimpa bencana keburukan.
Kata beliau lagi: Justeru, umat Islam perlu segera menyedari bahawa mereka mempunyai peribadi istimewa dan jati diri tersendiri yang berbeza daripada yang lainnya. Jati diri yang tidak berpihak ke kanan mahupun kiri. Peribadi sejati yang terzahir pada tanda-tanda dan ciri-ciri berpaksikan Islam. Agama fitrah dan risalah yang dibawa sesuai dengan semua manusia. Maka, umat Islam dengan keistimewaan tersendiri dan keaslian ini akan mampu menguasai aliran pemikiran dan medan politik dunia hari ini. (Lihat Maza Ya’ni Intima’I li al-Islam, hlm. 13-14)
Melihat kepada senario perpecahan umat yang berlaku di dunia pada masa kini, maka menjadi wajib bagi kita mencari jalan penyelesaian yang paling berkesan dengan sesegera mungkin supaya umat Islam dan agama Islam kembali cemerlang dan berada pada kemuncak keagungannya.
Kita mengharapkan perpaduan yang positif bersifat membina dan menapak ke hadapan untuk menuju ke kegemilangan, bukan perpaduan yang bersifat negatif serta hipokrit. Apabila telah wujud perpaduan yang positif, maka ianya menjadi kewajipan semua anggota masyarakat untuk sama-sama memelihara dan mempertahankannya.
Realiti sebenar perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan, mengecewakan dan memalukan. Perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat kritikal dan kronik. Oleh sebab itulah, umat Islam dipandang hina, rendah dan mundur. Sewajarnya kita mengambil kecaknaan dan keprihatinan bersungguh-sungguh agar sifat berpecah belah yang menjadi virus dalam masyarakat dapat dihapuskan dengan digantikan sebuah masyarakat yang mempunyai kasih sayang dan membina tamadun baru melayakkan untuk meraih Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.
Kami akhiri dengan doa:
اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ ، قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا ، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا ، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لاَ يَخْبُوْا ، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَى الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ ، إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرِ ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَى سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini, sesungguhnya telah berhimpun atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu atas dasar ketaatan kepada-Mu dan bersatu atas jalan dakwah kepada-Mu, mengikat janji persetiaan atas dasar meninggikan syariat-Mu.
Oleh itu, Engkau kukuhkanlah ikatannya Ya Allah, kekalkanlah kemesraan hati-hati ini, tunjukkanlah hati-hati ini akan jalan yang sebenar, serta penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak pernah malap, lapangkanlah hati-hati dengan limpahan keimanan serta keindahan tawakkal kepada-Mu, hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifah-Mu dan (jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah, perkenankanlah!
Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
24 Disember 2018 bersamaan 15 Rabi’ al-Akhir 1440 Hijrah.
Nota Hujung:
[1] Rabithah al-‘Alam al-Islami adalah salah satu organisasi Islam berpengaruh di dunia. Organisasi ini diasaskan di Mekah tahun 1962 dan telah dianggotai oleh 60 anggota dari 22 negara Muslim. Rabithah al-‘Alam al-Islami bergerak dalam bidang dakwah Islam, menjelaskan prinsip dan ajaran agama, dan membantu projek yang melibatkan penyebaran agama, pendidikan, dan kebudayaan.
[2] Benarlah hadis daripada Ibn Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمُ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ
Maksudnya: Hai manusia, awasilah kamu daripada sifat melampau dalam agama. Ini kerana, sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu akibat melampau dalam agama.
Riwayat Ibn Majah (3029)
[3] Terdapat dua takrif wasatiyyah, dari segi bahasa dan istilah.
Pada bahasa seperti kata Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab (hlm. 7/426) ialah: “Pertengahan sesuatu yang berada di antara dua kedudukan.” Dalam Asas al-Balaghah (hlm. 498) ialah dengan maksud terbaik. Daripadanya juga dengan maksud bersederhana seperti nafkah. Mengikut al-Qamus al-Muhit (2/391) pula, wasat dengan makna paling adil dan terbaik. Dalam bahasa yang mudah, kalimah wasatiy memberi makna adil, terbaik dan pertengahan atau seimbang.
Pada istilah, ia sama seperti makna bahasa, kecuali ulama’ menyebut tawassut merupakan keadaan yang dipuji pada ghalibnya yang berdiri di atas asas akal insani yang sejahtera dengan fitrah dan menyelamatkannya daripada cenderung kepada melampau atau cuai. (Lihat al-Wasatiyyah fi al-Islam, hlm. 27) Benarlah kata-kata Imam Abu Ishaq al-Shatibi di dalam al-Muwafaqat (3/163): “Wasat merupakan sebesar-besar syariat dan Ummu al-Kitab”
Ini berdasarkan dalil-dalil al-Quran antaranya, firman Allah SWT:
قُلِ ادْعُوا اللَّـهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَـٰنَ ۖ أَيًّا مَّا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.”
(Surah al-Isra’: 110)
Ayat ini menunjukkan pertengahan ketika berdoa dengan tidak meninggikan suara atau amat perlahan. Justeru, itulah yang terbaik.
No comments:
Post a Comment